BAB
1
KOD GENETIK 2070
HUJAN asid renyai-renyai membasahi kubah kaca Menara BioTech Cyberjaya. Dari tingkat
85, Dr. Arisya merenung keluar, melihat deretan kenderaan maglev yang
bergerak pantas merentasi lebuh raya udara Putrajaya-Kuala Lumpur. Jam holografik
di pergelangan tangannya berkedip garang: 02:45 AM.
“Kopi, Dr. Arisya?” sapa A.I. makmal
itu, suaranya lunak tetapi tidak bernyawa.
“Tak payah, System. Kadar
kortisol aku dah cukup tinggi,” balas Arisya sambil mengurut pelipis. Sebagai
Ketua Pakar Genetik Molekul, tugasnya bukan sekadar mencampur bahan kimia dalam
tabung uji. Dia adalah arkitek kehidupan.
Kerjanya melibatkan manipulasi
CRISPR-Cas120, teknologi penyuntingan gen termaju yang membolehkan manusia
mencipta tenaga kerja sintetik. Klon. Mereka direka untuk sektor 3D Dirty,
Dangerous, Difficult. Tiada emosi, tiada letih, tiada rungutan. Patuh
sepenuhnya.
Atau sekurang-kurangnya, itulah yang tertulis dalam brosur kerajaan korporat.
“Dr. Arisya, ada tanda amaran dari
Sektor C. Unit 734 menunjukkan ketidakstabilan corak gelombang otak pada lobus
frontal,” lapor A.I. itu lagi.
Arisya mengeluh. “Unit 734 lagi? Apa
pula dia buat kali ni? Terlanggar dinding? Lupa cara bernafas?”
Dia mencapai tablet lutsinarnya dan
berjalan pantas menuju ke lif. Sektor C adalah tempat penyimpanan klon Kelas
Pekerja Berat sebelum mereka dihantar ke tapak pembinaan di luar angkasa atau
lombong arang batu di Sarawak.
Pintu lif terbuka dengan bunyi hiss halus. Bau antiseptik dan ozon menusuk hidung. Arisya melangkah masuk ke ruang pemerhatian. Di sebalik kaca kalis peluru setebal lima inci itu, duduk seorang lelaki atau lebih tepat, satu unit biologi yang sedang bersila di atas lantai.
Namanya Unit 734. Arisya
memanggilnya Adam dalam hati, satu tabiat buruk yang boleh menyebabkan lesen
perubatannya digantung serta-merta. Memberi nama kepada ‘produk’ adalah
kesalahan etika berat di bawah Akta Kejuruteraan Bio 2055.
“Tengok tu, Doktor,” ujar pembantu
makmal, Hairul, yang sedang menekan-nekan papan kekunci dengan muka pucat. “Saya
tak tahu dari mana dia dapat bahan tu.”
Arisya mengecilkan matanya. Di
dinding putih bilik kurungan itu, terdapat lakaran hitam yang besar. Ia bukan
sekadar contengan orang gila. Ia adalah lukisan landskap sebuah sawah padi
dengan berlatarbelakangkan gunung, dilukis dengan terperinci yang menakutkan.
Perspektifnya tepat, bayang-bayangnya sempurna.
“Apa yang dia guna tu?” tanya
Arisya, suaranya bergetar sedikit.
“Minyak pelincir sendi lutut dia
sendiri dan habuk karbon dari sistem penapisan udara. Dia kikis penapis tu
sampai jari dia berdarah, campur dengan minyak, dan mula melukis,” jelas
Hairul, nadanya antara kagum dan takut.
“Holy...” Arisya terdiam. “Buka
audio.”
Hairul menekan butang. Suara dari
dalam bilik itu kedengaran.
Unit 734 sedang merenung tangannya
yang kotor dan berdarah. Bahunya terhinjut-hinjut. Bunyi sedu-sedan kedengaran.
Air jernih mengalir turun dari matanya, membasahi pipi yang sepatutnya kering
tanpa sebarang rangsangan emosi.
“Sakit...” bisik Unit 734. Dia
menyentuh dadanya. “Sakit kat sini... tapi tak ada luka.”
Arisya menekan butang interkom. “Unit
734. Lapor status. Adakah anda mengalami kecederaan fizikal?”
Lelaki itu mendongak. Wajahnya sama
seperti seribu klon lain rahang petak, hidung mancung, rambut dipotong nombor
satu. Tetapi matanya... matanya nampak ‘hidup’.
“Doktor...” suara Unit 734 serak. “Kenapa
air ni keluar dari mata saya? System error ke?”
Arisya terkedu. Dia memandang
Hairul. “Dia menangis, Hairul. Klon Kelas Pekerja tak ada kelenjar air mata
yang aktif untuk emosi. Kita dah matikan gen tu semasa fasa embrio.”
“Mungkin mutasi spontan?” Hairul
mencadangkan, tangannya menggigil sedikit memegang tablet. “Atau ralat semasa
proses incubation?”
Arisya menggeleng laju. Otaknya yang
terlatih sebagai saintis ligat berputar. Klon dibina dengan membuang sebarang
memori genetik penderma asal. Mereka ibarat kertas putih yang hanya tahu
menerima arahan. Melukis memerlukan imaginasi. Menangis kerana ‘sakit di
dada’ tanpa luka fizikal bermaksud kesedihan. Itu memerlukan jiwa.
“Siapa penderma asal DNA untuk Batch
700 ni?” tanya Arisya tegas.
Hairul menaip pantas. “Sekejap, Doc.
Data lama ni. Batch ni dibuat guna DNA simpanan arkib negara tahun
2020-an. Hmm... jumpa. Penderma kod: AR-99.”
“Buka fail peribadi penderma.”
Skrin besar di hadapan mereka
memaparkan biodata lama. Gambar seorang lelaki tua dengan beret, tersenyum
memegang berus lukisan.
Nama: Allahyarham Pak Samad.
Pekerjaan: Pelukis Diraja &
Seniman Negara.
Catatan Perubatan: Meninggal dunia akibat
komplikasi jantung, tetapi mempunyai tahap kecerdasan emosi (EQ) yang luar
biasa tinggi.
“Ah, damn it,” Arisya
berbisik. “Memori selular. Kita ingat kita dah hapuskan semuanya, tapi bakat
seni dia... emosi dia... ia tersembunyi jauh dalam intron DNA yang kita sangka ‘sampah’.”
Tiba-tiba, pintu bilik pemerhatian
terbuka kasar. Seorang lelaki bertubuh gempal dengan sut jenama Itali melangkah
masuk, diiringi dua pengawal keselamatan bersenjata laser.
Itu Tuan Azman, Pengarah Operasi
BioTech. Wajahnya merah padam, tanda tekanan darah tingginya sedang mencanak
naik.
“Dr. Arisya!” tempik Azman. “Apa
yang berlaku ni? Saya dapat laporan production line terhenti sebab satu unit
rosak ni? Awak tahu tak berapa kerugian kita setiap minit?”
Arisya cuba bertenang. “Tuan Azman,
ini bukan kerosakan biasa. Unit 734 menunjukkan tanda-tanda kesedaran kognisi
tahap tinggi. Dia melukis. Dia... beremosi. Ini penemuan saintifik yang...”
“Penemuan?” potong Azman dengan
ketawa sinis yang menjengkelkan. “Ini bukan penemuan, Dr. Arisya. Ini
kecacatan! Klien kita nak buruh kasar untuk bina koloni di Bulan, bukan pelukis
mural! Kalau klon ni tiba-tiba ada perasaan, nanti dia akan minta gaji, minta
cuti, minta union!”
Azman berjalan mendekati cermin
kaca, merenung Unit 734 yang masih menangis teresak-esak sambil memandang
lukisannya.
“Jijik,” ludah Azman. “Buang masa.”
Dia berpaling kepada pengawal
keselamatan. “Aktifkan Protokol Pelupusan untuk Batch 700. Terutamanya
Unit 734 ni. Bakar dia malam ni juga. Saya tak nak virus ‘perasaan’ ni
berjangkit ke unit lain.”
Jantung Arisya terhenti seketika. “Tuan,
kita tak boleh musnahkan dia macam tu saja. Dia... dia rasa takut. Dia sedar.”
“Dia produk, Arisya! Produk!” Azman
menunjuk jari telunjuknya tepat ke muka Arisya. “Awak saintis, bukan pekerja
sosial. Awak dibayar untuk pastikan produk kita berkualiti, bukan untuk main
mak-mak dengan tikus makmal.”
Azman membetulkan kotnya. “Pukul 4
pagi nanti, insinerator akan diaktifkan. Pastikan ‘benda’ tu dah
jadi abu sebelum breakfast saya sampai. Do I make myself clear?”
Tanpa menunggu jawapan, Azman
berlalu pergi, meninggalkan Arisya dan Hairul dalam kesunyian yang
membingungkan.
Di dalam bilik kurungan, Unit 734 Adam
melekapkan tapak tangannya ke cermin kaca, betul-betul di hadapan wajah Arisya.
Matanya yang basah merenung tepat ke dalam mata Arisya. Mulutnya bergerak
perlahan, tanpa suara, tetapi Arisya yang pakar membaca gerak bibir faham apa
yang dikatakannya.
“Tolong saya.”
Arisya memandang jam. 03:15 AM. Dia
ada kurang 45 minit sebelum Adam dibakar hidup-hidup.
Dia memandang Hairul. “Hairul, awak
sayang kerja awak?”
Hairul menelan air liur, peluh
jantan merecik di dahi. “Sayang, Doc. Saya ada hutang study lagi 50
tahun nak bayar.”
“Bagus,” kata Arisya sambil membuka
laci meja makmalnya dan mengeluarkan sebatang thumbdrive berwarna merah
serta pas keselamatan tahap tinggi. “Sebab hari ni, kita mungkin akan dibuang
kerja. Atau ditembak.”
“Hah? Wait, what?” Hairul
nampak blur, mukanya pucat lesi macam mayat.
“Matikan kamera litar tertutup
Sektor C. Buat gelung rakaman palsu 10 minit. Now!” tegas Arisya.
“Doc, ini gila! Ini treason!”
“Hairul,” Arisya memegang bahu
pembantunya itu kuat. “Tengok dia. Tengok lukisan tu. Itu bukan kod komputer.
Itu jiwa. Kalau kita biarkan dia mati, kita yang sebenarnya tak ada
kemanusiaan. Are you with me?”
Hairul memandang Adam di sebalik
cermin, kemudian memandang skrin komputer. Dia mengeluh panjang, seolah-olah
melepaskan segala beban dunia.
“Mampuslah,” rungut Hairul sambil
jarinya menari laju di atas papan kekunci hologram. “Camera looped. Doc
ada 5 minit sebelum sistem reboot dan kesan gangguan ni.”
Arisya tersenyum nipis. “Terima
kasih, Hairul.”
Dia berlari menuju ke pintu akses
bilik kurungan. Jantungnya berdegup kencang. Ini bukan lagi tentang sains. Ini
tentang menyelamatkan nyawa.
Pintu bilik kurungan terbuka. Bau
hamis darah dan minyak pelincir menerpa keluar. Adam tersentak, dia mengesot ke
belakang, ketakutan.
“Jangan takut,” kata Arisya lembut, mengangkat kedua-dua tangannya. “Nama saya Arisya. Saya nak bawa awak keluar dari sini.”
Adam memandang Arisya dengan mata
terkebil-kebil. “Keluar? Ke mana? Ke tempat yang tak sakit?”
“Ya,” janji Arisya, walaupun dia
sendiri tidak pasti ke mana mereka harus lari di bandaraya Cyberjaya yang dipenuhi
mata-mata digital ini. “Ke tempat di mana awak boleh melukis.”
Arisya mengeluarkan alat peranti
kecil berbentuk pen dari poket kot makmalnya. Itu adalah EMP Jammer
mudah alih, biasanya digunakan untuk membaiki kerosakan litar mikro, tapi kali
ini fungsinya lebih kritikal.
“Adam, pusing belakang. Saya kena
matikan cip penjejak di tengkuk awak,” arah Arisya pantas.
Adam menurut tanpa banyak soal. Dia
membelakangkan Arisya, mendedahkan bahagian tengkuknya yang bertanda kod bar
bercahaya biru neon: UNIT 734.
“Benda ni akan rasa macam kena gigit
semut api sikit. Tahan, ya,” pesan Arisya.
Zap!
Bunyi renjatan elektrik halus
kedengaran. Cahaya neon pada kod bar itu padam serta-merta, bertukar menjadi
kulit biasa yang lebam sedikit. Adam menyeringai, tangannya spontan memegang
leher.
“Aduh...” adunya perlahan. “Kenapa
sakit itu rasa... tajam?”
“Sebab saraf awak berfungsi dengan
terlalu baik,” balas Arisya sambil menarik tangan Adam. “Jom. Kita tak ada masa
nak kaji fisiologi kesakitan sekarang.”
Mereka meluru keluar dari bilik
kurungan. Di stesen kerja luar, Hairul sedang melompat-lompat kecil setempat,
mukanya basah dengan peluh dingin. Dia kelihatan seperti kucing yang baru lepas
nampak hantu.
“Doc! Cepatlah! Sistem keselamatan
tu dah mula hantar ping pelik. Lagi dua minit sebelum firewall kesan
manipulasi saya!” gesa Hairul, suaranya separuh berbisik tapi nyaring.
Arisya mencapai satu kot makmal
putih yang tersidai di kerusi lalu mencampakkannya kepada Adam. “Pakai ni.
Tutup baju banduan awak tu. Kalau orang tanya, awak adalah staf bahagian
logistik yang bisu. Faham? Jangan bercakap sepatah pun.”
Adam menyarung kot itu terbalik.
Arisya menepuk dahi, lalu dengan pantas membetulkan butang baju Adam seperti
seorang ibu menguruskan anak kecil yang nak ke tadika.
“Rambut dia... terlalu skema,”
rungut Hairul. Dia mencapai botol gel rambut di atas mejanya satu-satunya
barang peribadi yang dia ada lalu melumurkan pada rambut Adam, menyelerakkannya
supaya nampak lebih ‘manusia’ dan kurang ‘robot’.
“Okey, nampaklah macam intern
baru yang stres,” komen Hairul. “Ikut lif kargo nombor 4. Lif tu jarang guna sebab
bau sampah. Tuan Azman dan konco-konco dia takkan lalu situ.”
“Awak tak ikut?” tanya Arisya,
memandang Hairul.
Hairul menggeleng laju. Jarinya
kembali menari di atas papan kekunci holografik. “Kalau saya ikut, siapa nak jammedkan pintu
sekuriti? Pergi cepat! Saya akan bagi alasan saya tengah buat update
sistem kalau kantoi. Paling teruk pun kena potong gaji.”
Arisya mengangguk, terharu. “Hutang
budi ni saya takkan lupa, Hairul.”
“Belanja saya nasi kandar nanti!”
laung Hairul sebelum menekan butang merah yang mematikan lampu koridor Sektor
C.
Suasana menjadi gelap gelita, hanya
diterangi lampu kecemasan yang berkedip merah. Arisya menarik lengan Adam, berlari
menuju ke arah lorong belakang.
Mereka berlari melepasi
makmal-makmal kaca yang berisi janin dalam tabung. Adam memperlahankan
langkahnya. Matanya melilau memandang sekeliling dengan penuh jakun. Ini kali
pertama dia keluar dari kotak empat segi bilik kurungannya.
“Wah...” mulut Adam ternganga
melihat satu robot pencuci lantai yang sedang menyedut habuk. “Binatang apa tu?”
“Tu vacuum cleaner
lah! Jalan!” Arisya menariknya kasar. “Jangan jadi blur sangat boleh tak?”
Mereka tiba di depan lif kargo. Arisya
mengimbas retina matanya. Lampu akses bertukar hijau. Pintu lif besi yang berat
itu terbuka dengan bunyi krekkk yang menyakitkan telinga.
Bau busuk sisa biologi menerpa
keluar. Arisya menekup hidung, tekaknya loya. Tapi Adam sebaliknya menarik nafas
dalam-dalam.
“Bau apa ni?” tanya Adam polos. “Macam
bau... kehidupan?”
“Itu bau tahi tikus dan sisa kimia,
Adam. Masuk cepat,” tolak Arisya.
Di dalam lif, Arisya menekan butang ‘B3
- Parkir Bawah Tanah’. Lif mula bergerak turun dengan gegaran yang kuat.
Arisya bersandar di dinding lif, cuba menenangkan degupan jantungnya yang macam
nak pecah. Dia memandang Adam. Klon itu sedang menyentuh dinding lif yang
berkarat, mengusap teksturnya dengan jari, seolah-olah karat itu adalah satu
seni yang indah.
“Arisya,” panggil Adam tiba-tiba.
Dia tidak memanggil ‘Doktor’.
Arisya tersentak. “Ya?”
“Tadi... lelaki gemuk tu cakap nak
bakar saya. Mati tu apa? Adakah ia macam tidur dan tak bangun-bangun?”
Soalan itu membuatkan Arisya
terdiam. Macam mana nak terangkan konsep kematian kepada makhluk yang baru
sedar dia hidup sejam yang lalu?
“Lebih kurang macam tu. Segala
lukisan awak, segala rasa sedih awak, semua akan hilang jadi kosong,” jawab
Arisya jujur.
Adam tunduk. Wajahnya keruh. “Saya
tak nak kosong. Saya nak melukis lagi. Ada banyak gambar dalam kepala saya.”
Ting!
Pintu lif terbuka di tingkat B3.
Suasana di parkir bawah tanah itu sunyi dan suram. Kereta-kereta levitasi
tersusun rapi. Arisya mengintai keluar. Tiada pengawal.
“Okey, line clear. Kereta saya
kat petak 404. Jom.”
Mereka melangkah keluar. Arisya berjalan laju menuju ke arah sebuah kereta model Proton X900-Air berwarna perak. Dia baru sahaja hendak menyentuh pemegang pintu apabila satu siren nyaring bergema di seluruh bangunan.
WEEEOOO!
WEEEOOO!
Lampu amaran di siling parkir
berputar ligat. Suara sintetik bergema dari pembesar suara:
“AMARAN. PELANGGARAN PROTOKOL
KESELAMATAN DI SEKTOR C. UNIT 734 HILANG DARI RADAR. SEMUA PINTU KELUAR
DITUTUP. SILA KEKAL DI TEMPAT ANDA.”
“Ah, celaka!” carut Arisya,
melupakan etika bahasanya. “Hairul dah gagal tangguh masa.”
Pintu besi besar di pintu keluar
utama mula turun perlahan-lahan untuk menutup laluan.
“Masuk kereta! Cepat!” jerit Arisya.
Adam tergopoh-gapah masuk ke tempat
duduk penumpang. Dia terlanggar papan pemuka dengan lututnya. “Aduh!”
“Pakai tali pinggang!”
Arisya menghidupkan enjin. Kereta
itu mengaum halus dan mula terapung dua kaki dari lantai. Dia menekan pedal
minyak. Kereta meluncur laju.
“Pintu tu nak tutup!” jerit Adam,
menunjuk ke arah pintu besi gergasi yang semakin rapat ke lantai. Tinggal celah
sempit kira-kira satu meter lagi.
“Pegang kuat-kuat!”
Arisya tidak menekan brek.
Sebaliknya, dia menekan butang ‘Turbo Boost’ yang dia sendiri tak pernah
guna seumur hidup. Kereta itu memecut bagaikan peluru.
Adam menutup mata sambil menjerit, “Arghhhh!”
Krak!
Antena bumbung kereta bergesel
dengan besi pintu yang sedang turun, memercikkan bunga api. Bunyi ngilu besi
berlaga besi membingitkan telinga. Tapi momentum itu berjaya meloloskan mereka
keluar tepat pada masanya.
Mereka kini berada di jalan raya
luar, meluncur laju di atas lebuh raya Cyberjaya yang basah. Hujan asid masih
turun. Arisya bernafas kencang, tangannya menggigil memegang stereng.
Dia memandang cermin pandang belakang.
Tiada kereta peronda yang mengejar buat masa ini.
Adam membuka matanya perlahan-lahan.
Dia memandang ke luar tingkap. Lampu-lampu neon bandar raya futuristik itu
memantul pada titisan hujan di cermin tingkap. Warna-warni ungu, biru, dan
merah jambu menghiasi malam.
“Cantik...” bisik Adam, terpukau.
Air matanya mengalir lagi, tapi kali ini bibirnya tersenyum. “Dunia ni... penuh
warna.”
Arisya menghela nafas panjang,
separuh lega, separuh risau.
“Jangan seronok sangat, Adam,” kata
Arisya sambil menukar mod pemanduan kepada manual. “Kita sekarang buruan nombor
satu BioTech. Dan saya tak tahu mana kita nak tuju.”
Tiba-tiba, skrin papan pemuka kereta
Arisya berkelip. Satu panggilan masuk. Bukan dari nombor yang dikenali. Paparan
skrin cuma tulis: UNKNOWN.
Arisya ragu-ragu, tapi jarinya
menekan butang jawab.
“Siapa ni?” tanya Arisya garang.
Satu suara garau, dalam, dan tenang
kedengaran di hujung talian.
“Dr. Arisya. Awak dah buat satu
kekecohan besar. Tuan Azman baru saja arahkan Hunter Drones dilepaskan.”
“Siapa awak?” desak Arisya.
“Kawan kepada penderma asal, Pak
Samad,” jawab suara itu. “Kalau awak nak ‘anak’ kawan saya tu selamat,
bawa dia ke Kampung Baru Digital. Lorong Raja Muda 5. Jangan lambat. Dron tu
ada pengimbas haba.”
Talian diputuskan.
Arisya memandang Adam. Klon itu
sedang sibuk mengelap wap pada cermin tingkap dengan jari telunjuknya, melukis
bentuk smiley face :).
“Nampaknya kita ada kawan... atau
perangkap,” gumam Arisya. Dia memusing stereng, membelok kereta masuk ke susur
keluar menuju ke Kuala Lumpur.
Proton X900 itu meluncur rendah,
menyusup di antara hutan konkrit Kuala Lumpur. Hujan semakin lebat, menjadikan
pemandangan luar kabur seperti lukisan cat air yang disimbah air.
“Arisya,” panggil Adam sambil
menunjuk ke langit. “Kenapa bulan tu ada muka orang sedang gosok gigi?”
Arisya menjeling sekilas ke atas. Di
langit malam, bulan purnama yang indah telah ditutup separuh oleh hologram
gergasi iklan ubat gigi berjenama ‘GigiBesi’.
“Itu bukan bulan sebenar, Adam. Itu
iklan. Zaman sekarang, orang sanggup jual pemandangan langit demi duit,” jawab
Arisya sinis. Hatinya panas, bukan sebab iklan itu, tapi sebab amaran pada
papan pemuka keretanya mula berkelip merah.
BEEP! BEEP! BEEP!
“Apa bunyi tu? Muzik ke?” tanya
Adam, kepalanya terangguk-angguk mengikut rentak amaran bahaya itu. Dia nampak
lurus bendul, langsung tak sedar nyawa mereka di hujung tanduk.
“Bukan muzik! Itu bunyi ajal kita!”
bentak Arisya. “Tengok cermin sisi!”
Adam menoleh. Tiga objek hitam
berbentuk piring terbang kecil sedang mengejar mereka dengan laju. Di
tengah-tengah objek itu, menyala satu mata merah yang tajam.
“Oh, kawan-kawan robot datang
melawat!” kata Adam ceria.
“Itu Hunter Drones! Diorang
bukan datang nak ajak minum teh tarik!” Arisya menekan butang pada stereng,
mematikan sistem anti-graviti separa. Kereta itu serta-merta jatuh mendadak
dari ketinggian 50 tingkat ke paras jalan raya biasa.
“Waaaaa!” Adam menjerit, tangannya
terkapai-kapai cuba mencapai siling kereta.
Tayar kereta mencececah aspal basah Jalan Tun Razak dengan bunyi berdecit yang ngilu. Arisya memulas stereng ke kiri, masuk ke lorong sempit Kampung Baru Digital.
Kawasan ini unik. Walaupun tahun
sudah 2070, Kampung Baru masih mengekalkan rumah-rumah kayu bertiang tinggi,
warisan zaman berzaman. Bezanya, tiang-tiang kayu itu kini diperkukuh dengan
keluli nano, dan setiap atap zink dihiasi lampu neon berwarna-warni. Di bawah
rumah, gerai-gerai hologram menjual nasi lemak maya dan satay sintetik
kelihatan meriah.
“Tunduk!” jerit Arisya apabila satu
tembakan laser merah dari dron hinggap di cermin belakang kereta, memecahkannya
berkecai.
Adam menekup kepala dengan kedua-dua
belah tangan. “Kenapa diorang marah sangat? Saya cuma melukis sawah padi!”
“Sebab kewujudan awak tu ‘mahal’,
Adam! Dan diorang takut dengan apa yang diorang tak boleh kawal!” balas Arisya
sambil memandu secara zig-zag, mengelak deretan motosikal terbang geng Mat
Rempit Udara yang sedang lepak di tepi jalan.
Satu dron cuba memotong dari depan.
Arisya nekad. Dia melanggar sebuah gerai pisang goreng mujur gerai itu sudah
tutup, menyebabkan dron itu terperangkap dalam timbunan kuali dan minyak masak
lama.
BOOM!
Dron itu meletup kecil. Tinggal dua
lagi di belakang.
“Lorong Raja Muda 5... Lorong Raja
Muda 5...” Arisya mengomel sendiri, matanya melilau mencari nombor rumah. GPS
keretanya sudah haywire akibat tembakan laser tadi.
“Tu! Rumah yang ada banyak kain
buruk gantung kat luar!” jerit Adam tiba-tiba.
“Kain buruk apa? Itu bendera seni
lah!” Arisya memandang ke arah yang ditunjuk Adam. Sebuah rumah kayu
tradisional yang agak usang, tetapi penuh dengan lukisan kanvas yang digantung
di beranda, melambai-lambai ditiup angin. Nombor 5 tertera pada tiang pagar.
Arisya memecut masuk ke halaman
rumah itu, merempuh pagar kayu reput. Dia mematikan enjin dan lampu
serta-merta.
“Senyap,” bisik Arisya.
(Tamat Preview Bab 1)
...
SUKA DENGAN CERITA INI?
Jangan biarkan Adam berjuang seorang diri. Dapatkan naskhah penuh sekarang!
HARGA ASAL: RM 15.00
HARGA PROMO:
RM 12.90 Sahaja
[ KLIK SINI UNTUK BELI SEKARANG ]

Tiada ulasan:
Catat Ulasan